Bencana Kemanusiaan: Uighur dan Jeritan Bungkam.

with No Comments

“Tahu tentang Uighur?”

Beberapa orang pemuda yang sedang mengopi berkerut-kerut cuba memahami pertanyaan sahabat mereka. Berkerut-kerut dalam mengingati fakta ataupun berkerut-kerut mentafsir perkataan “Uighur” yang terasa asing di telinga.

Apabila kita duduk di meja dan mula bertukar-tukar pendapat dan berita dengan kawan-kawan, mungkin situasi di atas itu lah yang berlaku apabila kita berbicara soal bencana kemanusiaan yang melanda Muslim Uighur.

Bencana kemanusiaan yang melanda Muslim Uighur di wilayah Xinjiang, China mungkin tidak sehangat isu-isu bencana kemanusiaan di Palestin, Rohingya dan Syira. Dunia sepertinya telah terpukau untuk tidak peduli terhadap salah satu bencana kemanusiaan yang sangat mengerikan di wilayah Xinjiang, China.

 

Siapakah Kaum Uighur?

Kaum Uighur adalah sebuah etnik Turkistan Timur yang menganut agama Islam sejak kurun ke-10 setelah Islam tersebar di wilayah Turkistan Timur yang dahulunya dipelopor dengan kepercayaan dan agama Buddha, Shaman dan Manicheism. Setelah Islam diangkat menjadi agama utama pada tahun 934, Kashgar yang merupakan ibu kota bagi Wilayah Turkistan Timur turut menjadi salah satu pusat pengembangan Islam yang pesat.

Namun begitu, pada tahun 1876 setelah Empayar Manchu memulakan perang berdarah dalam agenda menakluk Wilayah Turkistan Timur, kebebasan wilayah tersebut dan warganya mula diragut sedikit demi sedikit. Antaranya, pada 18 November 1884 Wilayah Turkistan Timur telah ditukar nama ke Wilayah Xinjiang. Wilayah Xinjang akhirnya jatuh ke tangan Kerajaan Nasionalis China setelah  Empayar Manchu digulingkan pada tahun 1911.

Uighur yang sejak azali mahu membebaskan diri daripada pentadbiran kuasa asing berkali-kali berusaha untuk membebaskan diri dan menagih kemerdekaan dari kerajaan China. Pada tahun 1933 dan tahun 1944 beberapa perjuangan kemerdekaan untuk Timur Turkistan yang merdeka telah berlaku. Selain itu, kaum Uighur merupakan kaum yang sangat berkeras dalam memperjuangkan adat, agama dan taradisi. Oleh itu, mereka sama sekali membantah dan tidak mahu berlakunya asimilasi antara kaum Uyghur dan masyarakat Han yang merupakan puak majoriti di negara China. Penolakan keras kaum Uighur terhadap asimilasi turut mendapat perhatian golongan elit Han yang meluap-luap dengan “chauvinism” iaitu semangat nasionalisme yang ekstrim.

Oleh yang demikian, kerajaan China mengambil langkah mendominasi wilayah Xinjiang dengan menggalakan migrasi dalaman golongan Han ke wilayah tersebut. Namun begitu, semakin lama langkah mendominasi wilayah Xinjiang semakin ekstrim. Kerajaan China mula menggunakan kekerasan dan luar sifat kemanusiaan demi mencapai matlamat memiliki wilayah Xinjiang secara mutlak. Bermula dengan hanya migrasi dalaman, kerajaan China akhirnya mula mengatur langkah “genocide”, pembersihan kaum atau etnik Uighur seperti yang berlaku kepada masyarakat Rohingya.

 

Uighur Menjerit!

Semakin lama, semakin tenat kezaliman yang dilakukan lerajaan komunis China terhadap kaum Uighur. Berikut adalah sebahagian daripada penindasan yang berlaku terhadap Muslim Uighur di wilayah Xinjiang:

  1. Muslim Uighur dilarang sama sekali untuk mempraktikan ajaran agama Islam dalam kehidupan seharian. Mereka diharamkan dari menzahirkan keislaman mereka. Hanya dua sahaja ajaran yang dibenarkan iaitu ajaran Buddha atau Atheis untuk mereka praktikan.
  2. Bayi-bayi yang dilahirkan diharamkan daripada dinamakan dengan nama Islam.
  3. Kanak-kanak dipaksa untuk”bersekolah” di pusat pendidikan negara yang dikelola oleh kerajaan China. Di sekolah tersebut mereka dipaksa belajar tentang agama Buddha dan bertutur bahasa Cina. Menurut mereka, dengan memahami bahasa Cina mereka akan lebih mengenali agama sebenar iaitu Buddha yang sekaligus membuatkan generasi baru bakal buta tentang agama Islam serta asal usul bahasa dan tradisi mereka.
  4. Tudung dan pakaian tradisi diharamkan
  5. Al-Quran disita serta diharamkan. Buku-buku Islam juga dihapuskan dengan cara pembakaran naskah-naskah tersebut.
  6. Ribuan anak-anak Uighur ditempatkan secara paksa di pusat asuhan Cina untuk melupuskan identiti Muslim mereka sejak kecil.
  7. Muslimah dipaksa berkahwin dengan golongan lelaki kafir suku kaum Han.
  8. Dalam lingkungan satu juta atau lebih warga Uighur ditahan dalam kem konsentrasi yang kononnya merupakan pusat “Re-Education”. Sebaliknya, mereka dipaksa minum minuman beralkohol (arak)  dan makan babi sekaligus didera secara mental, fizikal dan emosi dengan perbuatan-perbuatan kejam yang melanggar hak sebagai seorang manusia.

Jeritan Bungkam!

Walaupun penyiksaan yang berlaku terhadap Uighur sudah melebihi puluhan tahun, dunia masih bungkam dengan situasi yang luar keperimanusiaan ini. Sama ada kerana faktor kerajaan Cina sebagai salah satu kuasa besar yang mengatur strategi ekonomi dunia ataupun kerana kerajaan komunis Cina yang sangat “menutup” segala perihal dalaman negara mereka daripada diakses dengan mudah oleh orang luar.

Namun begitu, sejak beberapa tahun ini, semakin banyak wartawan atau “journalist” yang mendokumentasikan isu Uighur. Tinggal kita sahaja yang perlu mengakses maklumat-maklumat tersebut di laman YouTube atau mana-mana laman web yang boleh dipercayai sumbernya dan seterusnya menularkan isu ini dalam masyarakat kita demi membingitkan isu Uighur dan menunjukan sensitiviti kita dalam soal ini yang ternyata bukan kerana sentimen agama sahaja tetapi demi satu kayu ukur sejagat iaitu “keperimanusiaan”.

GEMPITAKAN UIGHUR

Semoga setelah anda membaca penulisan ini yang ditulis berdasarkan cedokan beberapa sumber atas talian, anda mampu menjadi sebahagian dari agen yang mengempitakan soal Uighur di dunia. Berikut adalah beberapa langkah yang kita boleh laksanakan bersama-sama dalam memperjuangkan isu Uighur supaya tidak terus dipandang sepi.

  1. CAKNA! Ya, sudah tiba masanya kita perlu ambil tahu soal Uighur. Proaktifkan diri mencari informasi tentang Uighur dan sebarkan kepada kenalan dan keluarga kita.
  2. Sertai protes secara aman di hadapan kedutaan China di seluruh dunia sebagai salah satu cara untuk menekan kerajaan China dan menunjukan yang dunia kini sudah tahu dan mengutuk kekejaman yang dilaksanakan kerajaan China terhadap Uighur.
  3. Beri sokongan moral kepada pertubuhan-pertubuhan Uighur di seluruh dunia. Sama ada dengan menyertai “petition” atau demostrasi yang dianjurkan mereka.

“Tidak beriman antara kamu seorang Musim itu sehingga dia menyayangi saudaranya sebagaimana dia menyayangi dirinya sendiri…” (Sahih Bukhari)

Semoga kita mampu bersama-sama menjadi suara dalam memperjuangkan nasib saudara-saudara kita di Uighur serta seantero dunia yang sedang diuji dengan kekejaman dan diragut hak sebagai seorang manusia yang merdeka. Terus panjatkan doa agar diberi kesabaran buat mereka dan semoga kita mampu meningkatkan kualiti diri sebagai seorang individu Muslim yang mampu membela mereka.

____________________________________________________________________________________

SYIFFA ROSMAN merupakan seorang penulis dan ahli Jounalist Club IKRAM UKE 

Leave a Reply