Bulan Safar – Mengimbau Peperangan Khaibar

Alhamdulillah kita telah sampai ke bulan yang kedua di dalam kalendar Islam, iaitu bulan Safar dan di dalam seerah Rasulullah saw, Allah swt telah membuka jalan kemenangan buat umat Islam. Allah swt telah menggunakan kata ‘fathun’ (فتح) di dalam Al-Quran untuk menggambarkan kemenangan yang dijanjikanNya bagi pihak kaum Muslimin yang bersama Rasululullah saw.

إِنَّا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحًا مُبِينً

“Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata” (Surah Al-Fath ayat 1)

لَقَدْ رَضِيَ اللَّهُ عَنِ الْمُؤْمِنِينَ إِذْ يُبَايِعُونَكَ تَحْتَ الشَّجَرَةِ فَعَلِمَ مَا فِي قُلُوبِهِمْ فَأَنْزَلَ السَّكِينَةَ عَلَيْهِمْ وَأَثَابَهُمْ فَتْحًا قَرِيبً

“Demi sesungguhnya! Allah reda akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahuiNya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Ia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya” (Surah al-Fath ayat 18)

إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْح

“Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan” (Surah An-Nasr ayat 1)

لَقَدْ صَدَقَ اللَّهُ رَسُولَهُ الرُّؤْيَا بِالْحَقِّ ۖ لَتَدْخُلُنَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ إِنْ شَاءَ اللَّهُ آمِنِينَ مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ لَا تَخَافُونَ ۖ فَعَلِمَ مَا لَمْ تَعْلَمُوا فَجَعَلَ مِنْ دُونِ ذَٰلِكَ فَتْحًا قَرِيبً

“Demi sesungguhnya! Allah tetap menyatakan benar RasulNya dalam perkara mimpi itu dengan kenyataan yang sebenar; iaitu sesungguhnya kamu tetap akan memasuki Masjid Al-Haraam – insya Allah (pada masa yang ditentukanNya) – dalam keadaan aman (menyempurnakan ibadat umrah kamu) dengan mencukur kepala kamu, dan kalau (tidak pun) menggunting sedikit rambutnya, serta kamu tidak merasa takut (akan pengkhianatan musuh sehingga kamu keluar balik dari situ). (Allah mengangguhkan berlakunya kenyataan itu) kerana Ia mengetahui (adanya feadah dalam penangguhan itu) yang kamu tidak mengetahuinya; maka Ia menyediakan sebelum (terlaksananya mimpi) itu, satu kemenangan yang dekat (masa berlakunnya)” (Surah al-Fath ayat 27)

‘Fathun’ atau kemenangan yang pertama disebut sebagai ‘Fathun Mubin’ (فتح مبين ) merujuk kepada Perjanjian Hudaibiyah (Zulqaedah 6H) berlaku setelah umat Islam dihalang memasuki Makkah untuk melaksanakan umrah. Ia merupakan kemenangan yang jelas walaupun pada mulanya umat Islam mempunyai tanggapan yang sebaliknya. Rasulullah saw pernah bersabda, “Bahkan ia adalah sebesar-besarnya kemenangan”. Sesungguhnya, kaum musyrikin telah rela kalian meninggalkan negeri kalian dengan tenang. Mereka meminta kalian sebuah keputusan. Mereka mengkehendaki kalian berada dalam keamanan (Tafsir Al-Qurtubi).” Apatah lagi, sejarah menyaksikan peningkatan bilangan umat Islam lebih kurang 10 kali ganda, dari 1400 orang semasa perjanjian kepada 10 000 semasa Fathul Makkah (Tafsir Ibn Katsir). ‘Fathun’ yang kedua pula adalah ‘Fathun Qaribun’ (فتح قريب ) yang merupakan kejayaan semasa Perang Khaibar (Muharram-Safar 7H), umat Islam menundukkan kubu kuat kaum Yahudi yang sebelum itu menjadi ancaman luaran dan juga dalaman melalui puak munafiq. Peperangan ini hanya disertai oleh mereka yang menyertai Baiah Ar-Ridhwan di Hudaibiyah seperti di dalam tafsiran ayat ke-15 Surah Al-Fath oleh Dr. Abdul Kareem Zaidan, daripada hadith Rasulullah saw,

أنتم خيرأهل الأرض

“Kamu sebaik-baik penduduk bumi” (Sahih Bukhari)

Ini merupakan satu penghormatan dan kedudukan yang tinggi oleh Allah swt kepada mereka yang jujur, tsabat dan beriltizam dengan perjuangan. Mereka juga telah dijamin oleh Rasulullah saw untuk diampun segala dosa dan dijauhkan dari Neraka seperti di dalam sabdanya,

لا يدخل النار أحق ممن بايع تحت الشجرة

“Tidak akan masuk Neraka sesiapa yang berbaiah di bawah pokok (Baiah Ar-Ridhwan)” (Sahih Muslim)

Di Khaibar, umat Islam berdepan dengan corak peperangan yang berlainan dengan kebiasaan orang Arab. Kaum Yahudi yang mempunyai kompleks kubu yang tinggi menyukarkan usaha pasukan tentera Islam dan mengambil masa yang begitu panjang untuk setiap kubu dapat dilumpuhkan. Tetapi dengan kepahlawanan para sahabat terutamanya Ali ra, dan juga perancangan dan taktik peperangan yang berkesan, akhirnya kaum Yahudi menyerah kalah. Umat Islam membawa pulang harta rampasan perang yang sangat banyak dari Khaibar seperti gambaran Surah Al Fath ayat 19,

وَمَغَانِمَ كَثِيرَةً يَأْخُذُونَهَا

“Dan juga dengan banyak harta rampasan perang yang mereka akan dapat mengambilnya”

Selain itu, umat Islam memperoleh jaminan pendapatan yang besar dan berterusan dari hasil ladang milik asal kaum Yahudi di Khaibar. Sehingga Ibnu Umar ra berkata, “Kami tidak pernah makan kenyang sehinggalah Khaibar ditawan.” Pulangan harta yang sangat besar ini telah memperkukuh ekonomi umat Islam yang menjadi salah satu faktor membawa kepada Pembukaan Kota Makkah (الفتح) seperti yang diterangkan oleh Syeikh Ali As-Sallabi. Kemenangan Khaibar adalah kemenangan yang diraikan oleh Rasulullah saw sehingga baginda berkata, “Aku tidak tahu apa yang menggembirakan ku, samada Perang Khaibar atau kepulangan Jaafar ra.” Semoga kita menjadi mereka yang beriltizam dengan perjuangan yang akan menjadi sebab kemenangan dengan izin Allah swt. Kemenangan sehebat Khaibar adalah anugerah dan merupakan batu loncatan ke arah kemenangan yang lebih besar di Fathul Makkah.  

 

Dr. Ismail Ibrahim

Jawatankuasa Tarbiyah

IKRAM UKE 

Comments

comments

Nov, 05, 2016

0

SHARE THIS