Perhimpunan Musim Sejuk (PMS) 2016

30 Disember 2016, JUMAAT, Staffordshire – Pada 19-22 Disember yang lalu, telah berlangsungnya Perhimpunan Musim Sejuk (PMS) bertempat di Smallwood Manor Preparatory School Ltd, Uttoxeter, Staffordshire, United Kingdom. Perhimpunan tahunan anjuran IKRAM United Kingdom & Eire (IKRAM UKE) ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan kefahaman tentang agama Islam yang menyeluruh dalam kalangan pelajar UK dan Ireland, khususnya kepada para pelajar baru, dengan menekankan kepentingan pembinaan individu-individu Muslim melalui pegangan Al-Quran dan Hadis sebagai panduan hidup dan mengaplikasikannya di dalam kehidupan seharian. Perhimpunan pada tahun ini diadakan secara gabungan antara lelaki dan perempuan dan mencatatkan pendaftaran peserta seramai 47 orang dan 63 orang ahli jawatankuasa dari seluruh bumi UK dan Ireland. Ahli Jawatankuasa PMS 2016 diketuai oleh Pengarah Program, Saudara Suhail Anwaar Ahmad Shafiai dan Dr. Siti Sarah Mohd Nor selaku Timbalan Pengarah Program.

dsc_4503

Perhimpunan ini bermula secara rasminya dengan taklimat ringkas oleh Pengarah Program serta sesi penetapan minda dan diikuti dengan  permainan suai kenal bagi merapatkan hubungan sesama peserta. Para peserta turut dibahagikan kepada beberapa kumpulan.

Pengisian pertama pada hari kedua telah disampaikan oleh Ustaz Abdul Muhaimin Mohammad Shahar yang bertajuk ‘Kepentingan Tarbiah’. Pengisian yang disampaikan menerangkan berkenaan peranan dakwah dan tarbiah dalam melakukan perubahan dari aspek luaran dan dalaman ke arah pembentukan individu Muslim. Perubahan yang dilakukan juga perlu berdasarkan prinsip yang betul, iaitu berpandukan Al-Quran diiringi dengan keazaman serta komitmen yang jitu agar keberkesanan perubahan itu dapat dirasai secara berterusan. Untuk memperkukuh kefahaman terhadap pengisian tersebut, bengkel dan permainan dalam kumpulan telah diadakan diikuti dengan sesi muhasabah. Tayangan filem yang bertajuk ‘Alangkah Lucunya Negeri ini’ turut diadakan pada malam harinya dan kesemua aktiviti ini bertujuan menjelaskan peranan tarbiah sebagai solusi untuk kita keluar dari kejahilan, dan pentingnya setiap komponen-komponen tarbiah dan sokongan dari pihak lain agar pembinaan individu itu dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

dsc_4174

dsc_4273

 

Pengisian kedua pada hari ketiga pula disampaikan oleh Saudara Fauzi Hasim yang bertajuk ‘Wahai Pemuda’. Slot ini menekankan peranan dan tanggungjawab pemuda sebagai pencetus dalam kebangkitan sesuatu bangsa seterusnya menyeru pemuda untuk memberikan komitmen kepada pembinaan diri sendiri sebagai individu Muslim, di samping membina keinginan untuk menjadi sebahagian daripada kebangkitan Islam di masa hadapan. Antara kalam hikmah yang dipetik oleh Saudara Fauzi dalam penyampaiannya; “Tegakkan Islam dalam dirimu, nescaya Islam akan tertegak di atas bumi kamu” oleh Syeikh Hassan Hudaybi. Pengisian pada waktu petang dipenuhi dengan aktiviti Explorace untuk peserta lelaki dan aktiviti yang berkonsepkan jual-beli untuk peserta perempuan bagi menguji kefahaman para peserta mengenai pengisian kedua tersebut. Melalui aktiviti-aktiviti ini peserta dapat mendalami ciri-ciri pemuda yang bakal mendorong kebangkitan Islam di masa hadapan berdasarkan kisah-kisah sahabat dan pemuda-pemuda Islam yang dikagumi pada zaman kegemilangan Islam terdahulu. Di samping itu, aktiviti-aktiviti ini juga sedikit sebanyak diharap dapat membantu mencungkil dan membina potensi diri para peserta.

dsc_4366

15622563_1345463558817687_7999403153663620978_n
Rutin harian sepanjang program ini dijalankan turut diatur rapi seperti solat berjemaah bagi setiap waktu, bacaan Al-Mathurat pada waktu pagi beserta tazkirah dan riadah bagi menghidupkan jiwa dan membangkitkan semangat para peserta.

Pagi terakhir PMS 2016 diisi dengan slot forum bersama wakil dari UKE yang terdiri daripada Saudara Muhammad Muhsin Abdul Rahman, Saudara Ikmal Nordin dan Saudari Siti Aisyah Abdul Halim. Perkongsian yang berkisarkan tentang perjalanan dakwah dan tarbiah mereka serta sesi soal-jawab yang diadakan bertujuan membantu memperkukuh kefahaman dan tanggungjawab setiap individu Muslim untuk menjadi Muslim yang sebenar, cemerlang dalam ibadah, aqidah dan peribadi.

PMS 2016 diakhiri dengan majlis penutup, disertakan dengan ucapan ringkas oleh Pengarah PMS dan penyampaian hadiah kepada para pemenang. Anugerah peserta terbaik PMS 2016 dinobatkan kepada Saudara Nabil Harith Riffat Norzaidi dan Saudari Nur Hazeera Batrisyia Norhisham, kedua-duanya dari University of Warwick. Anugerah fasilitator terbaik pula dinobatkan kepada Saudara Mohd Norfikri Omar dari University College London dan Saudari Hasyyaty Hamzah dari Royal Holloway University of London. Selain itu, kumpulan Hunain dan kumpulan 5 telah terpilih sebagai kumpulan terbaik lelaki dan perempuan bagi PMS 2016. Tahniah diucapkan kepada para peserta dan ribuan penghargaan kepada semua pihak yang melibatkan diri secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan PMS 2016.

Bersesuaian dengan tema PMS 2016, ‘Shining Brightest in the Darkest of Nights’, para peserta diharap dapat menyedari akan realiti umat yang tenat dan gelap pada masa ini dan berusaha untuk menerangi kegelapan tersebut dengan mengukuhkan asas-asas Islam dalam diri masing-masing bagi merealisasikan matlamat pembinaan pemuda Muslim yang  soleh dan musleh agar bermanfaat kepada masyarakat sekeliling dan seterusnya membantu ke arah pembentukan Ustaziatul Alam.

# Video penutup Perhimpunan Musim Sejuk 2016 boleh ditonton di sini.

dsc_4405

dsc_4416

 

Comments

comments

Dec, 30, 2016

0

SHARE THIS