Pertemuan Pemimpin Persatuan Pelajar Islam United Kingdom

13 JUN, LONDON – Pada 13 Jun 2016 yang lalu, satu pertemuan rasmi Pengarah Education Malaysia, Prof. Madya Dr Zainal Abidin bin Sanusi, dan Atase Pendidikan (Bimbingan Agama & Kaunseling), Ustaz Ruzain Syukur Bin Mansor bersama wakil pemimpin Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam di UK telah diadakan. NGO Islam yang hadir termasuklah Pertubuhan IKRAM United Kingdom & Eire, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) UK-Eire, Angkatan Belia Islam Malaysia UK dan Haluan UK & Ireland. Wakil Biro Pembangunan Kerohanian Kelab UMNO London turut hadir sebagai kelab yang berpengaruh di UK. Objektif pertemuan adalah merapatkan hubungan dan sinergi dakwah antara aktivis Islam di samping merancang program membina nilai individu muslim bersama.

Antara isu penting yang dibincangkan adalah penekanan dan keperluan mahasiswa UK dan Ireland untuk bergiat aktif mendepani isu-isu semasa di UK, Ireland dan Malaysia. Pada masa yang sama, para mahasiswa juga perlu berani memberi pendapat dalam isu-isu semasa berlandaskan hujah-hujah Islam. Prof. Madya Dr. Zainal juga mengutarakan perlunya para mahasiswa untuk berani membincangkan isu-isu sensitif seperti isu perkauman dalam mewujudkan persefahaman antara kumpulan yang berbeza.

Dalam pertemuan ini juga, para perwakilan turut membincangkan keperluan untuk mewujudkan sebuah program bersama yang bakal berfokus pada mewujudkan persefahaman antara aktivis-aktivis Islam di UK dan Ireland.

Semoga pertemuan yang diadakan ini dapat mengeratkan silaturrahim sesama umat Islam dan pada masa yang  dapat menyatukan tenaga aktivis-aktivis Islam dalam menyampaikan mesej Islam sebagai rahmat ke seluruh alam.

Comments

comments

Jun, 23, 2016

0

SHARE THIS