Seminar Nasional IKRAM

5 NOVEMBER, Birmingham – pada 5 hingga 6 November 2016, IKRAM United Kingdom & Ireland telah mengadakan sebuah seminar nasional di Sparkbrook Mosque, Birmingham. Seminar ini telah dihadiri oleh 140 orang peserta dari kalangan mahasiswa serta mahasiswi Malaysia di United Kingdom dan Ireland. Seminar yang berlangsung selama dua hari ini telah dimulakan pada jam 10 pagi hari Sabtu 5 November dan berakhir pada jam 2 petang 6 November 2016.

Tujuan seminar ini diadakan adalah bagi menyampaikan prinsip fikrah jemaah dan ciri-ciri khususnya,
serta membina kapasiti bekerja dalam gerak kerja dakwah. Selain itu, seminar ini juga bertujuan untuk menaikkan semangat dakwah ukhuwah.

Seminar ini telah dibuka dengan kata alu-aluan oleh pengarah seminar, saudara Muhammad Muhsin Abd Rahman. Menurut saudara pengarah, tema bagi seminar ini adalah: absorb, reflective, synthesis. Selepas itu, seminar diteruskan dengan penyampaian tafsir surah muhammad oleh saudara Mohamad Ikmal Ahmad Nordin, kemudian disusuli oleh aktiviti ‘street dakwah‘ di mana para peserta perlu menjalankan soal selidik terhadap masyarakat awam di Birmingham berkenaan topik-topik yang telah diberikan kepada setiap kumpulan. Seterusnya, hari pertama seminar ditutup dengan satu penyampaian mantap daripada saudara Muhsin yang bertajuk Pembangunan Kapasiti Pendakwah. Antara kata-kata hikmah yang dipetik oleh saudara Muhsin dalam penyampaiannya; “Self-development is a higher duty than self-sacrifice” oleh Elizabeth Cady Stanton.

Pada keesokan harinya, dua pengisian telah dijalankan secara serentak iaitu pengisian daripada saudara Ahmad Fikri Mustaffa berkenaan Madrasah Tarbiyyah Imam Hassan Al-Banna dan pengisian Bahtera Penyelamat yang disampaikan oleh Dr. Muhammad Munawar bin Mohamed Hatta.

Seterusnya, bagi sesi penutup, saudara Muhsin sebagai pengarah program telah menyampaikan ucapan penutup serta amanat kepada semua peserta untuk dibawa pulang ke kawasan masing-masing. Dengan ini, semoga semua peserta, fasilitator serta ahli jawatankuasa pelaksana dapat membawa pulang serta mengamalkan mesej-mesej yang telah disampaikan melalui penyampaian dan aktiviti yang telah dijalankan sepanjang seminar nasional IKRAM ini.

Nur Bashirah Abu Hassan Shaari
JK Media Ireland
IKRAM UKE

Comments

comments

Nov, 16, 2016

0

SHARE THIS