Biarkan Ibu Menangis

Kelmarin, kita dikejutkan dengan berita di tanah air tentang kejadian seorang ibu yang mengkelar leher anaknya yang berusia 2 bulan. Ibu berkenaan disyaki mengalami kemurungan (depression) tetapi tidak pernah mendapatkan rawatan. Tidak lama sebelum itu, saya juga telah membaca sebuah artikel tulisan Laura Harris bertajuk “What It’s Like To Be A Stay-At-Home Mom On The Verge Of Depression” melalui satu link yang dikongsikan oleh seorang sahabat. Penulisan jujur Laura membuatkan saya merasa terpanggil untuk menulis artikel ini, kerana boleh jadi ramai lagi rakan-rakan ibu di luar sana yang menyimpan perasaan seperti Laura, tetapi tiada kekuatan untuk meluahkannya.

 

Kedudukan IBU di dalam Islam

Tidak dapat dinafikan bahawa Islam telah mengangkat kedudukan ibu kepada satu kedudukan yang paling tinggi dalam komuniti.

 

Dalam sebuah hadis riwayat Imam Bukhari;

Dari Abu Hurairah RA, beliau berkata,

“Seseorang datang kepada Rasulullah SAW dan berkata, ‘Wahai Rasulullah, kepada

siapakah aku harus berbakti pertama kali?’

Nabi shalallaahu ‘alaihi wasallam menjawab, ‘Ibumu!’

Dan orang tersebut kembali bertanya, ‘Kemudian siapa lagi?’

Nabi shalallaahu ‘alaihi wasallam menjawab, ‘Ibumu!’

Orang tersebut bertanya kembali, ‘Kemudian siapa lagi?’

Baginda menjawab, ‘Ibumu.’

Orang tersebut bertanya kembali, ‘Kemudian siapa lagi,’

Nabi shalallahu ‘alaihi wasallam menjawab, ‘Kemudian bapamu.”

 

Bolehkah IBU merasa terbeban dengan tanggungjawabnya?

Penghormatan yang diberikan melalui kedudukan yang tinggi ini sedikit pun tidak mengurangkan manusiawi (“less humane”) dalam diri seorang manusia yang bergelar ibu. Contoh yang paling jelas telah Allah SWT rakamkan dalam Kitab-Nya;

“(Ketika Maryam hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); ia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!” (QS Maryam: 23)

Maryam seorang wanita terpilih, satu-satunya wanita yang namanya disebut di dalam Al-Quran. Wanita suci pilihan Allah SAW untuk menjadi ibu kepada pesuruh-Nya, Nabi Isa AS. Namun semua ini tidak menjadikan Maryam hilang ciri-ciri manusiawinya.

Merasa berat dengan sesebuah tanggungjawab atau ujian bukanlah satu kesalahan, malah boleh jadi perasaan itulah yang akan menjadi faktor penolak agar kita lebih bersemangat dalam melunaskan setiap satu tanggungjawab itu dengan lebih baik!

Persoalannya sekarang ialah untuk mencari cara terbaik untuk melepaskan keluhan dan tekanan yang dihadapi, bukannya menidakkan perasaan tersebut.

 

IBU harus lebih “manusia”!

Tugas utama seorang ibu dalam membesar dan mendidik anak-anak adalah jauh lebih rumit berbanding tugas seorang pengurus sumber manusia, kerana tiada istilah “cuti” pada seorang ibu. Apatah lagi untuk “meletakkan jawatan”? Tugas ini ialah tugas seumur hidup, dengan tiada jalan untuk berpatah balik.

Sebagaimana seorang daie(pendakwah) itu harus bersifat lebih manusiawi daripada manusia lain, kerana tugas seorang daie itu memerlukannya mahir dengan selok-belok jiwa manusia, maka seharusnya begitu jugalah seorang ibu.

Maka janganlah ditahan air mata itu wahai ibu-ibu semua, kerana kita juga seorang manusia yang tidak akan pernah lari daripada sifat-sifat manusiawi. Carilah ruang dan kesempatan yang sesuai untuk melepaskan keluhan di dada.

 

Kembalikan fitrah keIBUan

Saya bukanlah seorang pakar perubatan, apatah lagi seorang pakar psikologi. Namun penulisan ini lahir daripada pengalaman sendiri sebagai seorang ibu kepada 3 orang anak lelaki serta pengamatan ketika bersama rakan-rakan ibu yang lain. Menurut hasil pembacaan saya melalui sumber-sumber yang boleh dipercayai, postpartum depression atau “kemurungan selepas melahirkan” merupakan satu kondisi klinikal yang tidak asing. Menurut statistik, di United Kingdom, 1 daripada 10 ibu yang melahirkan akan mengalami postpartum depression ini.

Allah SWT menciptakan fitrah setiap wanita itu pasti akan mempunyai hasrat untuk memiliki cahaya mata. Walaupun melalui satu proses yang panjang, dan juga tidak mudah, namun dengan izin Allah juga, makhluk kecil dan asing yang bernama anak itu akan menjadi sumber kebahagiaan kepada seorang ibu.

Maka sekiranya kita tidak dapat mencari kebahagiaan daripada anak kita, itu bukanlah fitrah!

Berusahalan untuk mencari diri kita yang sebenar dengan pergi mendapatkan nasihat, bantuan dan rawatan daripada mereka yang pakar dalam bidangnya. Kerana boleh jadi kita sedang mengalami posrpartum depression tanpa kita menyedarinya.

Tidak perlu merasa malu atau segan, kerana depression juga adalah sejenis penyakit, sama dengan mana-mana penyakit lain yang memerlukan perhatian dan rawatan.

Mungkin akibat kurangnya pendidikan, masyarakat kita masih belum mampu menerima dan melihat pesakit depression sama seperti pesakit-pesakit lain. Namun janganlah kita jadikan stigma dan taboo dalam masyarakat ini sebagai penghalang kepada diri kita untuk mendapatkan hak dan nikmat kesihatan.

Daripada Jabir bin Abdullah, Rasulullah SAW bersabda;

“Tiap-tiap penyakit itu (ada) ubatnya. Apabila menepati ubat terhadap penyakit tersebut, maka sembuhlah dengan izin Allah” (Riwayat Muslim & Ahmad)

Berusaha, pohonlah kesembuhan daripada Allah, kemudian bertawakkallah kepadaNya!

 

Buat pendamping setia para IBU

Seharusnya pendamping setia seorang ibu itu ialah suaminya, seorang bapa.

Buat para bapa, sering kali lah bertanyakan khabar isteri-isteri anda, terutamanya sekiranya isteri anda ialah surirumah sepenuh masa. Berusahalah untuk menyusun masa yang berkualiti untuk diluangkan bersama isteri, serta sediakanlah kesempatan kepada isteri untuk mencari sedikit ruang untuk dirinya sendiri. Para isteri pasti amat berterima kasih sekiranya para suami sekali-sekala dapat bertukar giliran menjaga anak-anak, agar mereka punya waktu untuk menarik nafas dalam-dalam dan menekan butang “refresh” untuk hari esok yang masih panjang.

Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka” (QS An-Nisa: 34)

Tiada sokongan yang lebih bermakna dan diharapkan oleh seorang isteri selain daripada sokongan dan perhatian daripada suaminya sendiri.

 

Wahai para ibu, kasihi dan kasihanilah diri sendiri, kerana jiwa yang tidak bahagia tidak akan mampu membahagiakan. Semoga Allah merahmati semua ibu di sini dan di luar sana~

 

Hanum Yaakub

Ketua Wanita IKRAMUKE 16/17

 

Comments

comments

SHARE THIS