Empat Puluh Minggu

Dia (Zakaria) berkata, “Ya Tuhanku, sungguh tulangku telah lemah dan kepalaku telah dipenuhi uban, dan aku belum pernah kecewa dalam berdoa kepada-Mu, ya Tuhanku. Dan sungguh, aku khuatir terhadap kerabatku sepeninggalku, padahal isteriku seorang yang mandul, maka anugerahilah aku seorang anak dari sisi-Mu, yang akan mewarisi dari keluarga Yakub; dan jadikanlah dia, ya Tuhanku, seorang yang diredhai. (Maryam, 19:4-6)
Mendalami doa Nabi Zakaria dalam ayat Quran di atas, mengingatkan saya akan kata-kata pensyarah. Kebarangkalian manusia untuk mendapat anak adalah rendah (30%) berbanding dengan haiwan mamalia (70-80%). Kita patut bersyukur kepada Allah swt kerana diberi peluang untuk lahir dan hidup di muka bumi ini.

Menyingkap kembali pengalaman saya ketika di bilik bedah Galway University Hospital, pengalaman membantu ibu melahirkan anak pertama sedikit sebanyak menyedarkan saya akan susah payahnya ibu untuk melahirkan anak. Ibu yang bertarung selama 36 jam sebelum anak lelakinya menyedut nafas pertama amat menyentuh hati apatah lagi saya yang memegang status anak sulung. Saya ditempatkan oleh ketua bidan dengan pasangan suami isteri Muslim. Untuk mengisi masa terluang, si suami dan saya berborak melangkaui perihal agama, tanggungjawab seorang ayah dan kerjaya. Di samping itu, saya turut memberitahu akan aturcara yang bakal ditempuh oleh bakal suami isteri di bilik bersalin ini. Ternyata mereka amat gemuruh dan berdebar menimang cahaya mata yang pertama. Si ayah turut meminta saya membaca surah yasin sewaktu si isterinya bersalin. Saya turut mendoakan agar urusan mereka dipermudahkan Allah swt.

Ternyata kami diuji oleh Tuhan apabila ukuran bukaan cervix tidak berubah selama 3 jam. Oxytocin telah diberi namun, ibu yang keletihan ini tidak mampu untuk menolak bayinya keluar. Ini juga merupakan salah satu kesan sampingan daripada ubat pelaliPethidine. Tepat jam 8.15 malam, bidan membuat keputusan untuk memaksa si ibu menolak bayinya keluar. Bacaan jantung bayi di cardiotocography memberi isyarat bahawa dirinya perlu dikeluarkan sebelum kelemasan. Si bidan menjerit-jerit memaksa si ibu meneran. Si ayah tidak keruan namun membantu menaikkan semangat isterinya. Akhirnya kepala bayi telah keluar sedikit dan bidan terpaksa menggunting kawasan perianal untuk memudahkan bayi keluar. Bayi lelaki berjaya dilahirkan pada pukul 8.37 malam dan hati saya sayu mendengar si ayah mengazankan serta mengiqamahkan si bayi.

Jika dapat digambarkan kesakitan melahirkan anak untuk pemuda-pemudi di luar sana, mungkin mereka akan menginsafi kejadian diri. Percaturan Allah Maha Hebat sehingga membuatkan kelahiran bayi ke dunia amat payah. Hanya hamba-hamba-Nya yang bijak akan mengenali kesusahan mendapatkan anak serta erti perit seorang ibu melahirkan anak. Kepada para ibu bapa, kesusahan untuk mendapatkan cahaya mata perlu disulami dengan didikan anak yang betul. Tarbiyah anak ini sebenarnya bermula sebelum kahwin. Teliti dahulu perangai serta makan minum ibu bapa, sebelum menyalahkan anak sekiranya mereka kurang baik. Anak-anak pula perlu menghormati ibu bapa, mengenang jasa ayah dan ibu membesarkannya dan senantiasalah iringi mereka dengan doa. Saya menyeru diri saya dan rakan seperjuangan agar sentiasa berdoa untuk pesakit yang kita sua. Susurilah dengan harapan dan doa agar umat Islam hari ini kembali kepada fitrahnya yang sebenar demi agama yang tercinta.

IM
Yang tinggal 2 hari lagi ke Loch Lomond,
Untuk perbaharui iman,
Sambil mengukuh ukhwah.

Artikel asal ini ditulis pada 21 Disember 2009, dua hari sebelum Perhimpunan Musim Sejuk 2009 oleh Dr Ikhwan Marion yang ketika itu masih lagi menuntut di National University of Ireland, Galway.
Kini beliau bertugas sebagai seorang doktor di St James’s Hospital, Dublin dan merupakan bekas Regional Head of IKRAM Ireland.

Comments

comments

May, 14, 2017

0

SHARE THIS