Majlis Perwakilan Nasional 2017

Alhamdulillah wa shukrulillah. Pada hari Sabtu yang lepas bersamaan 1hb April 2017, IKRAM UKE telah selesai mengadakan Majlis Perwakilan Nasional (MPN) kali ke-7. MPN kali ini diadakan di UKIM Jamia Masjid di Sparkbrook Birmingham. MPN adalah bertujuan untuk mendengar amanat pimpinan IKRAM UKE dan Malaysia, mendengar pembentangan laporan tahunan, berkongsi pengalaman antara kawasan, berbahas dan mengusulkan cadangan kepada pimpinan nasional, dan juga menjalin ukhuwah sesama ahli.  Ia dihadiri oleh kira-kira 140 perwakilan; yang terdiri daripada ahli IKRAM UKE daripada seluruh 7 kawasan di United Kingdom dan Ireland. Majlis ini telah dipengerusikan oleh Dr Ismail Bin Ibrahim dan bermula seawal 9:30 pagi.

Pada sebelah pagi, para perwakilan berpeluang mendengar ucapan dasar presiden IKRAM UKE, Dr Mohd Zaquan Bin Abd Ghafar. Antara intipati ucapan beliau adalah gesaan supaya ahli menjadi lebih kreatif dan bersikap peka terhadap isu sekeliling di samping mengambil peluang yang terbentang untuk terus memajukan dakwah dan tarbiah. Majlis kemudian dimeriahkan dengan ucapan amanat dan perasmian oleh Setiausaha Agung pertubuhan IKRAM Malaysia, Tn Hj Nahar Bin Md Nor. Kehadiran beliau di MPN kali ini amat bermakna buat ahli-ahli IKRAM UKE. Sebelum majlis berhenti berehat, setiap wakil daripada 7 kawasan telah tampil ke hadapan dan memberi ucapan balas terhadap ucapan dasar presiden.

Pada sesi tengaharinya, setiap portfolio dalam JawatanKuasa Nasional (JKN) IKRAM UKE berpeluang membentangkan laporan tahunan masing-masing. Sejurus selepas itu, sesi soal jawab telah diadakan antara ahli dan pihak JKN. Kebanyakan soalan yang dikemukan telah berjaya dijawab oleh pihak JKN. Mana-mana isu yang memerlukan perbincangan lanjut, akan dibawa ke mesyuarat JKN yang terdekat. Majlis seterusnya dihangatkan lagi dengan perbincangan cadangan-cadangan daripada semua kawasan. Sesi ini berlangsung hampir selama dua jam.

Pada sebelah malamnya, sesi pemilihan JKN untuk sesi 2017/18 dimulakan, sebaik sahaja barisan kepimpinan 2016/17 melepaskan jawatan. Pemilihan kali ini julung-julung kalinya dikendalikan dengan menggunakan sistem atas talian. Berikut adalah barisan kepimpinan baru yang terpilih:

President IKRAM UKE 2017/18: Muhammad Nazril Bin Laharadi

Deputy President II IKRAM UKE 2017/18: Hanum Binti Yaakub

4 ahli JKN:

  1. Muhammad Munawar Bin Mohamed Hatta
  2. Mohd Faizal Bin Mhmad Tahar
  3. Nahdia Binti Ariffin
  4. Noorhasyimah Binti Ismail

Majlis yang berakhir tepat jam 12 tengah malam ini, diselang -selikan dengan beberapa acara sampingan seperti penyampaian cenderahati kepada pasangan IKRAM UKE yang baru berkahwin, yang baru menimang cahaya mata dan ahli yang cemerlang dalam bidang akademik. Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan anak-anak. Pentomin sempena hari ibu telah diadakan dan berjaya menghiburkan para perwakilan yang hadir. Semoga semua perwakilan mendapat manfaat daripada MPN kali ini. Diharapkan kita dapat terus menggiatkan usaha dalam merealisasikan hasrat IKRAM UKE untuk membentuk ahli menjadi murabbi, muharrik dan qiadatul ummah yang berjaya.

 

Comments

comments

Apr, 09, 2017

 

0

SHARE THIS