Nottingham Raikan Ramadan

Brothers’ Tadarus Circle dan Kutipan Tabung Puasa Dunkirk

Sepanjang bulan Ramadan ini, brothers IKRAM Nottingham mengadakan tadarus satu juzuk setiap hari dan diikuti dengan tayangan video pengajaran ayat al-Quran oleh Ustaz Nouman Ali Khan. Aktiviti ini bertujuan menggalakkan para pelajar untuk memperbanyak bacaan al-Quran dalam bulan mulia ini dan mengambil ibrah dari bacaan-bacaan tersebut.

Di samping itu, sebanyak £460 telah berjaya dikutip pada awal Ramadan dan disalurkan kepada MAPIM untuk diagihkan sebagai bantuan iftar kepada keluarga Rohingya yang mengalami kesempitan hidup dek penindasan yang dihadapi.

Harapannya agar bulan Ramadan ini dimanfaatkan bukan sahaja untuk diri sendiri, tapi turut berkongsi rasa dengan mereka yang susah.

Projek Dunkirk Bersih

Pada 28 Jun yang lalu, IKRAM Nottingham telah mengadakan aktiviti membersihkan kawasan perumahan Dunkirk. Seramai 15 orang yang majoritinya terdiri daripada pelajar tahun akhir telah sama-sama mengutip sampah di 6 buah jalan sekitar kawasan tersebut.

Aktiviti ini dijalankan atas inisiatif untuk berbakti kepada komuniti di sini, lebih-lebih lagi kebanyakan pelajar yang turut serta bakal bergraduasi dan pulang ke Malaysia. Tambahan pula, dengan semangat Ramadan, aktiviti ini merupakan satu amal kebaikan di samping aktiviti-aktiviti kerohanian yang lain. Selepas aktiviti ini selesai, nasi lemak sambal petai turut diagihkan kepada para sukarelawan, yang disumbangkan oleh seorang pelajar di sini.

Selari dengan prinsip Islam yang mementingkan kebersihan dan semangat komuniti, diharapkan agar kita mempunyai inisiatif tersendiri untuk membersihkan kawasan kejiranan. Kalau bukan kita, siapa lagi?

Harapan kami agar para pelajar di sini dapat menyumbang sesuatu walaupun sedikit, kerana setiap seorang mempunyai tanggungjawab kemasyarakatan.

Majlis Khatam al-Quran Dunkirk

IKRAM Nottingham dengan kerjasama Kelab UMNO Nottingham telah mengadakan Majlis Khatam al-Quran Dunkirk (Brothers) pada 24 Jun 2017 yang lalu bersamaan 29 Ramadan. Majlis ini dijalankan sebagai penutup aktiviti tadarus harian sepanjang Ramadan. Majlis khatam al-Quran ini dimulakan pada pukul 8.15 malam dengan bacaan setengah juzuk terakhir al-Quran beramai-ramai, diikuti dengan doa khatam al-Quran dan tayangan video ibrah Juz 30 oleh Ustaz Nouman Ali Khan.

Selepas itu, majlis diteruskan dengan iftar perdana yang ditaja oleh Kelab UMNO Nottingham. Majlis kemudiannya ditutup dengan solat Maghrib berjemaah dan takbir.

Majlis ini diharapkan dapat menghidupkan semangat cinta akan al-Quran serta harapan untuk bertemu lagi dengan Ramadan.

Ustaz Nouman Ali Khan yang memetik ibrah dari surah al-Asr, mengatakan bahawa masa ialah perkara paling bernilai dalam kehidupan manusia. Dan sekiranya masa yang ada tidak dimanfaatkan dengan sebaiknya, maka seseorang itu berpotensi merosakkan dirinya sendiri. Oleh itu, manusia yang bersifat saling memerlukan, perlulah menasihati dan mengajak antara satu sama lain ke arah kebenaran dan kesabaran, agar masa itu digunakan seadilnya.

Sekiranya Ramadan berlalu tanpa kita beramal dengan bersungguh-sungguh, atau tanpa ada perubahan positif, kita masih lagi ada peluang, ayuh guna masa yang ada untuk beriman dan beramal soleh.

Semoga kita bertemu lagi dengan Ramadan yang akan datang, Insya-Allah!

Comments

comments

Jun, 29, 2017

0

SHARE THIS