Pelajar di United Kingdom Melakukan Mogok Lapar Sebagai Tanda Sokongan kepada Rakyat Palestin

Hari ini langit biru kelihatan cerah dan tenang. Pelbagai jenis bunga tumbuh mekar melata di seluruh kawasan universiti. Hari yang indah dan ceria buat mereka yang tinggal di Manchester kerana kebiasaanya hujan yang jadi peneman setiap hari. Seperti kata mat saleh, ‘Manchester is known as the rainy city, when it is sunny, we are happy, when it is rainy, we are moody’ . Begitulah cuaca memberikan kesan kepada emosi dan perasaan manusia.

 

Sewaktu berjalan dari makmal kimia ke surau universiti, saya ternampak sekumpulan aktivis pelajar sedang melakukan mogok lapar (hunger strike) di hadapan salah satu bangunan universiti. Terdapat bendera Palestin dan sepanduk besar yang tertulis “Hunger strike in solidarity with Palestinian Political Prisoners”  yang dipasang dan boleh dilihat dari jarak jauh.

 

Aktivis pelajar melakukan mogok lapar selama seminggu

 

Apabila mendekati kawasan tersebut, saya dapat melihat  sebahagian daripada mereka menutup mulut dengan cellotape sambil melutut, manakala sebahagian lain menjaga kaunter/booth untuk menerangkan dan memberi penjelasan kepada orang ramai mengenai apa yang mereka lakukan.

 

Aktivis pelajar berhasrat menimbulkan kesedaran kepada orang ramai tentang penyeksaan yang dihadapi oleh pihak Israel

Berdasarkan penerangan mereka, terdapat dua sebab utama mengapa mogok lapar ini dilakukan. Pertama, adalah sebagai tanda sokongan padu kepada lebih 1,500 tahanan politik Palestin yang ditahan di dalam penjara Israel yang melakukan mogok lapar secara besar-besaran selama lebih dua minggu, bermaksud mereka tidak makan dalam tempoh dua minggu dan hanya minum sahaja. Mereka melakukan mogok lapar adalah disebabkan rasa tidak puas hati atas layanan buruk dan penyeksaan yang dilakukan oleh pegawai penjara Israel dan juga keadaan dalam penjara yang sangat teruk.  Mereka telah ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara sesuka hati oleh pihak berkuasa Israel tanpa melalui perbicaraan dan  dinafikan hak untuk mendapat kemudahan perubatan sewaktu di dalam penjara. Selain itu, mereka juga tidak boleh dilawat oleh ahli keluarga dan perkara ini telah melanggar hak asasi manusia.

 

Sebagai tanda sokongan kepada tahanan Palestin ini, semua aktivis pelajar ini turut sama melakukan mogok lapar selama seminggu untuk merasai sendiri penderitaan yang dialami oleh tahanan Palestin dan pada masa yang sama menimbulkan kesedaran kepada orang ramai tentang layanan buruk dan teruk yang terpaksa dihadapi oleh tahanan Palestin di dalam penjara Israel.

 

Sebab kedua mogok lapar yang dilakukan oleh aktivis pelajar ini adalah untuk memberikan tekanan kepada pihak University of Manchester untuk menarik balik tindakan disiplin yang dikenakan kepada dua pelajar yang terlibat dengan demonstrasi pro-Palestin pada bulan Mac lepas. Dua pelajar yang dikenakan tindakan disiplin tersebut merupakan aktivis BDS (Boycott, Divestment and Sanctions) Movement, iaitu sebuah pergerakan global yang ditubuhkan untuk memberikan tekanan ekonomi dan politik kepada Israel supaya pihak Israel menghentikan penjajahan dan kolonisasi mereka ke atas tanah Palestin, memberikan hak dan layanan yang baik kepada rakyat Palestin dan menghentikan serangan dan kekejaman yang dilakukan kepada rakyat Palestin.

 

Aktivis pelajar cuba memberikan tekanan kepada pihak pentadbiran University of Manchester untuk menarik balik tindakan disiplin yang dikenakan kepada dua aktivits pelajar pro-Palestin.

 

Saya sendiri sangat kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh aktivis ini, Mereka sanggup berlapar selama seminggu demi menyatakan sokongan terhadap tahanan Palestin yang diseksa dan diberikan layanan buruk oleh pihak berkuasa Israel. Apa yang lebih saya kagumi adalah sebahagian daripada aktivis pelajar ini bukan dari kalangan orang Islam.

Aktivitis pelajar terdiri daripada pelbagai latar belakang agama dan bangsa

 

 

Benarlah, isu Palestin ini bukan lagi isu umat Islam, tetapi ianya merupakan isu kemanusiaan. Semua orang, tidak kira agama, bangsa dan negara perlu sama-sama berjuang menegakkan keadilan buat rakyat Palestin. Mereka telah bermandikan darah, hilang tanah dan tempat tinggal, ditangkap masuk ke dalam penjara, dipisahkan dari keluarga, dikawal dari kanan dan kiri, atas dan bawah seperti berada dalam penjara, dinafikan hak sebagai manusia selama puluhan tahun. Mereka rindukan keamanan, mereka rindukan kehidupan sebagai manusia seperti di tempat lain, mereka ingin hidup gembira bersama keluarga tercinta dengan aman dan tenteram, tanpa gangguan dari pihak Israel.

Ayuh, sama-sama kita bantu rakyat Palestin, menyumbang dari segala segi yang kita mampu, baik wang, harta, masa, buah fikiran dan doa. Semoga Palestin kembali bersinar dengan cahaya keamanan dan kita boleh melawat dan menziarahi Palestin seperti mana kita melawat Mekah, Madinah, London, Paris, Los Angeles, Bandung, Kuala Lumpur dan tempat-tempat lain suatu hari nanti.

 

Kredit : Al-Jazeera

 

Shazwan Shah merupakan pelajar PhD dalam bidang Kimia di University of Manchester dan aktivis Pertubuhan IKRAM United Kingdom dan Eire

Comments

comments

May, 08, 2017

0

SHARE THIS