“Presents for Syrian Children” (Bahagian 1)

 

Tika itu sudah menghampiri bulan November, tapi aku masih tiada apa-apa perancangan lagi untuk cuti musim sejuk selama sebulan nanti. Akhirnya, aku memutuskan untuk bergerak ke Timur Tengah, Jordan bersama-sama sahabat rapat aku dari sekolah menengah dulu, Khairah Rushdi dari Cardiff.

 

“Kita mahu pergi jalan saja-saja?”

“Orang kata, tak seronok kalau datang rumah orang lain dengan tangan kosong.”

 

Maka, kami berdua pun memulakan projek ‘Presents for Syrian Children’ dan mula mengumpulkan dana untuk dibawa ke Jordan, negara yang paling banyak menerima pelarian daripada perang di Syria setakat ini. Dengan menggunakan servis Gofundme, saluran dana masuk secara berterusan sepanjang sebulan itu sehinggakan kami berjaya kumpul sekitar £1200 dari UK dan Malaysia. Masha Allah, hanya Allah sahaja yang mampu membalas jasa baik para dermawan. Kami bersetuju untuk menyalurkan semua dana itu kepada pelarian Syria dan sekolah-sekolah untuk anak-anak Syria yang berada di bawah jagaan badan-badan NGO yang telah ditubuhkan sendiri oleh sahabat-sahabat kami di Jordan, seperti ‘Tangisan Syria di Bumi Jordan’, ‘Teach for the Needs Syria’ dan ‘Malaysian Arabian Cultural Society’. Perjuangan sahabat-sahabat di bumi Jordan yang menggalas tanggungjawab memastikan kebajikan pelarian Syria terjaga di samping bebanan belajar amatlah menakjubkan.

 

“Orang Malaysia ini baik-baik”, kawan aku pernah sebut.

Anak-anak pelarian Syria

Dua minggu sebelum tarikh penerbangan, kami mula membeli buku-buku, mainan dan alat tulis untuk dibawa ke sana. Pelbagai peristiwa yang berlaku dalam tempoh penyediaan kami sebelum ke Jordan. Bagi diri aku sendiri, aku sangat terharu dengan seorang wanita lokal yang menjual buku di eBay. Dari Nottingham, aku bergerak ke rumahnya di Derby untuk mengambil buku-buku yang telah dibeli kerana terlalu berat untuk dihantar melalui pos. Ketika kami berbual, dia sangat terkejut apabila mengetahui buku-buku ini akan dibawa ke Jordan untuk diberikan kepada anak-anak Syria dan terus bertindak untuk memulangkan kembali duit yang telah diberikan. Katanya, dia juga turut sama mahu membantu dan akan cuba mendapatkan rakan-rakannya untuk menyumbangkan buku dan baju-baju. Alhamdulillah, dan aku sangat bersyukur atas kebaikannya untuk membantu. Waktu itu aku percaya, sesungguhnya jika kita mahu memudahkan kerja orang lain, Allah juga akan memudahkan kerja kita.

Pada 14 Disember 2016, dengan berbekalkan empat bagasi besar yang berat masing-masing mencapai 20 hingga 30 kilogram, kami menaiki pesawat AirFrance menuju ke Jordan dengan transit dua jam di Perancis. Setibanya kami di Jordan, tanpa kemahiran berbahasa Arab, kami berjalan ke arah kaunter imigresen. Baru ditanya nama bapa sahaja sudah menggelabah. Kami bersyukur ke hadrat Ilahi sekali lagi, kerana tidak perlu membayar 40 JD untuk visa disebabkan pasport kami yang bertatahkan jata negara Malaysia. Untung sebenarnya menjadi warga Malaysia ini!

Sampai sahaja di balai ketibaan, Tuhan sahaja yang tahu kepenatan yang terasa. Manakan tidak, masing-masing bertolak dari Cardiff dan Nottingham lebih kurang pukul 1 pagi untuk ke London dan perlu meneruskan perjalanan hingga jam 9 malamnya ke Jordan. Itu tidak termasuk mengah membawa empat buah bagasi penuh muatan itu melalui kastam dan sebagainya. Di Queen Alia International Airport itu, kami menunggu ‘muraqib’ kami, Hadi dan Muzaffar (kaedah muraqib ini akan aku terangkan kemudian). Mereka ini telah dihubungi dari awal lagi untuk membawa kami sepanjang dua minggu kami di bumi Syam ini. Sambil menunggu mereka, kami tidak lepas daripada memerhati suasana bangsa Arab yang menyambut seorang ahli keluarga mereka yang pulang dari graduasi di luar negara, dengan riuh rendah bunyi gendang dan bermacam-macam lagi alat muzik yang kami sendiri tidak pasti namanya. Bingit tapi menarik!

Dengan suhu di luar bawah 10 darjah celcius – lebih kurang sama sahaja seperti di UK – kami bergerak ke parkir lot kereta. Tiada banyak yang boleh dilihat, maklumlah sampai di Amman sahaja sudah waktu malam. Ketibaan kami hanya disambut rintikan hujan dan angin dingin.

 

ANAK MALAYSIA DI JORDAN

Mafraq kami jadikan sebagai pangkalan perjalanan kali ini, bertumpang teduh di rumah sahabat sekolah kami, Hanizah. Kami tiba di rumahnya lebih kurang jam 1 pagi – waktu yang agak lambat untuk menyambut tetamu – tetapi sahabat kami ini dengan baiknya menerima kami dengan senyuman walaupun dia sendiri ketika itu kurang sihat. Malah disediakan untuk kami satu bilik khas untuk kami berdua di samping menceritakan pelbagai kisah mereka belajar di Jordan itu.

Perbezaan paling ketara yang kami hadapi adalah keadaan suhu di dalam rumah adalah sama sahaja seperti di luar, berbeza sekali dengan di UK. Ranap segala keangkuhan kami bahawa kami boleh membiasakan diri dengan cuaca sebegitu rupa. Menggigil kami berdua bertapa di hadapan ‘sobah’ (pemanas minyak tanah) dengan berselubung dalam ‘hirom’ (selimut tebal versi Jordan).

Kisah tentang air minum pula, ia dibekalkan oleh kerajaan Jordan melalui tong-tong air kerana air daripada paip yang sedia ada tidak selamat untuk diminum walaupun telah dimasak, disebabkan kandungan klorin yang terlalu tinggi. Satu lagi perbezaan dengan kehidupan kami di UK yang boleh minum sahaja air daripada paip dapur. Belum masuk kisah air panas untuk mandi dan membersihkan diri – yang memakan masa hingga 20 minit untuk dipanaskan dan perlu berjimat cermat demi mengurangkan penggunaan bil eletrik.

“Macam mana kau orang belajar?”

“Belajar sahajalah. Duduk dalam ‘hirom’ dan baca buku.” Rasyiqah (salah seorang ahli rumah itu) jawab sambil tersenyum.

Hari itu kami habiskan dengan cubaan membiasakan diri dengan gaya hidup serta budaya baru yang jelas berbeza dengan keadaan di Eropah. Aku sendiri belajar untuk lebih bersyukur dengan nikmat yang aku dapat di UK, itupun susah sedikit sudah mahu mengeluh sana sini. Hati perlu lebih kental, sekental sahabat-sahabat kami ini di Jordan – kekurangan yang sedikit pun tidak menjejaskan semangat untuk terus belajar dan hidup menabur bakti di atas muka bumi ini.

 

PARUT

Jam 8 pagi keesokan harinya, kami bergerak dengan kereta sewa yang telah diambil terlebih dahulu dari Irbid. Sinar mentari yang memancar memberi peluang kepada kami untuk melihat suasana Mafraq dengan lebih jelas. Sepanjang perjalanan, mata disapa dengan bangunan batu-bata perang serta hamparan pandang pasir sehingga ke hujung. Terlihat juga beberapa khemah – menurut Hadi itulah khemah pelarian-pelarian Syria yang keluar daripada Kem Za’tari di bawah kelolaan UNHCR dan membawa keluarga mereka ke tempat lain.

Kami singgah di rumah kelabu batu-bata milik Abu Gharam, yang isterinya diupah untuk memasak ayam buat bekalan kami berjalan seharian nanti petang. Janggalnya keadaan ketika itu susah nak digambarkan, kerana kami tidak berapa fasih bercakap Arab, apatah lagi dialek Ammi yang mereka gunakan berbeza juga dengan yang kami belajar di sekolah dahulu. Kami sempat mengajak anak-anaknya bergambar sambil dihidangkan dengan syai’ – teh herba yang sedap tetapi sangat manis.

Sedang Hadi rancak berbual dengan Abu Gharam, dia membuka cerita tentang kisah lelaki berkulit putih kemerah-merahan itu bagaimana dia boleh merentasi sempadan dari Syria ke Jordan. Satu kampungnya dibunuh, manakala dia pula ditembak di bahagian lutut – sambil ditunjukkan bekas parut tembakan itu. Kami terdiam membisu, membayangkan sendiri bagaimana keruh keadaan ketika itu yang terpaksa dialami oleh anak-beranak ini. Abu Gharam melarikan diri dari negara sendiri bersama anak-anak dan isterinya, dalam keadaan salah seorang anaknya yang digendong ketika itu menyerupai mayat – separuh mati. Sehinggakan pegawai yang menjaga sempadan juga meragui adakah anak itu masih hidup atau tidak.

Sungguh, kami tidak bersedia untuk kisah itu. Terasa kelat menelan syai’, melihatkan anak-anak kecil yang sedang tersenyum di sebelah kami ketika itu terpaksa mengharungi pengalaman sedahsyat itu. Tapi ketahuilah, Abu Gharam yang kami lihat hari itu – senyumannya manis dan tawanya indah, menghangatkan hati sehangat syai’ yang kami hirup.

Kami meminta diri untuk pulang setelah sedulang ayam dihulur bersama sebuah bekas. Kami melambaikan tangan, mahu beransur pergi – sambil kedengaran tawa Abu Gharam yang terhibur dengan jenaka sahabat kami.

Abu Gharam dengan anak-anaknya

 

PENYUCIAN DOSA DAN LAUT KAUM NABI LUT

Kami bergerak ke tapak yang dipercayai menjadi tempat ‘Jesus’ dibaptis di al-Maghtas. Dikatakan di sinilah agama Kristian bermula setelah dibaptis oleh John the Baptist. Berhadapan kami di benteng sungai dalam lingkungan 5 hingga 10 meter ialah tanah Israel, dan dari sini kami boleh lihat bagaimana penganut mereka beramai-ramai berpakaian serba putih mandi dan menenggelamkan diri beberapa kali ke dalam sungai tersebut – dipercayai oleh ahli agamanya mampu menyucikan diri mereka daripada dosa.

“Kau tengok, sebelah sana cantik binaannya guna batu dan marmar. Sebelah sini hanya kayu sahaja.”

Betul juga. Bahkan tanah di sebelah sana menyerupai kawasan bertaraf lima bintang, kemas dan teratur, berbanding kawasan di sebelah sini yang kelihatan ala kadar sahaja mahu memelihara tapak warisan mereka. Prioriti, mungkin. Pemandu pelancong kami ketika itu merupakan seorang Arab, dan kami sedar bahawa dia tidak pernah sama sekali merujuk kepada tanah di sebelah sebagai Israel, malah yang keluar dari mulutnya hanyalah “Palestin”. Masha Allah, sungguh hebat semangat mereka.

Kemudian, kami bergerak ke salah satu kawasan pantai di Laut Mati, untuk makan dan solat. Kami hanya mencelup kaki sahaja di pinggir laut yang paling masin di dunia itu. Laut ini dipercayai sebagai kawasan kaum Nabi Lut – yang melakukan kemungkaran terhadap Tuhan dengan perlakuan luar tabi’i mereka, apabila diutus malaikat menjadi tetamu kepada Lut juga mereka mahu. Sehinggalah azab Allah diturunkan – bumi diterbalikkan dan dihujani batu-batu – tiada yang terlepas, termasuklah isteri baginda sekali. Iman itu bukan diwarisi, kan? Juga dikatakan, apa-apa ekspedisi menggunakan robot untuk melihat dasar laut itu sekalipun tidak pernah berjaya, kerana keasidan laut itu yang mampu merosakkan robot – tiada siapa tahu apa yang ada di dasar laut tersebut.

Sungai yang memisahkan Jordan (pondok di sebelah sini) dan Israel (bangunan megah di sebelah sana)

 

Laut Mati

 

HIDUP INI SEBUAH PERANTAUAN

Hari seterusnya kami ke Umm Qays dan Jerash, kedua-duanya bandar tinggalan Rom yang biasa kita lihat wujudnya tiang-tiang gergasi. Sebenarnya, tinggalan kerajaan Rom ini bersepah di bumi padang pasir ini menunjukkan betapa besarnya empayar yang mereka bina suatu ketika dahulu.

Seperti biasa, tiang-tiang Doric, Ionic dan Corinthinan – identiti seni bina Rom menyapa pandangan kami saat kami melangkah ke kuil-kuil (temple) mereka. Seni bina begini malah dibawa hingga ke Eropah yang boleh kita lihat pada binaan-binaan yang masih teguh wujud pada hari ini. Di Umm Qays yang kedudukannya berada di atas bukit, kesan runtuhan bangunan-bangunan mereka kelihatan jelas akibat gempa bumi yang pernah berlaku di kawasan itu. Yang menariknya, tinggalan kota Umm Qays itu berwarnakan dua jenis warna batu – hitam dan krim. Menurut Hadi, hal ini kerana apabila kerajaan Turki Uthmaniyah menakluk kota tersebut daripada pegangan Rom, mereka membina semula bangunan-bangunan itu dengan menggunakan warna batu yang berbeza berbanding kerajaan Rom. Sebab itulah berlakunya percampuran dua jenis warna batu, berbeza mengikut kerajaan.

Kedudukan Umm Qays yang tinggi ini juga membolehkan kami melihat Bukit Golan. Bukit inilah yang menjadi perebutan Jordan, Israel dan Syria sejak dahulu. Hal ini kerana kawasan ini kawasan lembah dan terdapat sumber air yang cukup, maka ianya kelihatan lebih subur dan hijau jika dibandingkan dengan kebanyakan kawasan lain di Jordan yang hanya pasir semata-mata. Puncak Bukit Golan yang rata itu jugak merupakan salah satu sebab mengapa ia menjadi rebutan sebagai tempat paling strategik untuk membina kubu. Ketika “Six Day War” yang melibatkan puak Arab bergaduh dengan Israel pada tahun 1967, akhirnya bukit ini jatuh ke tangan Israel – dengan menjadi sempadan antara ketiga-tiga negara itu.

Bersebelahan Bukit Golan ialah Tasik Tiberius, sumber air tawar yang sangat besar, yang kini juga menjadi kepunyaan Israel. Barulah kami tahu kenapa orang-orang di Jordan terpaksa menunggu air minum yang dihantar ke rumah, hasil hubungan diplomatik kerajaan Jordan dengan Israel.

Kami juga berkesempatan untuk menghampiri sempadan Palestin yang dikawal ketat oleh pihak berkuasa, dibawa oleh pemandu pelancong kami. Setelah menunjukkan kad pengenalan kepada pihak tentera di pos kawalan mereka dan disoal serba sedikit, kami dibenarkan untuk melalui sebuah jalan yang jaraknya hanya dua meter daripada sempadan Palestin. Dalam takut-takut dan menyorok-nyorok, kami mengambil gambar. Walaupun tiada apa sangat yang boleh dilihat melainkan beberapa pokok liar, berada berdekatan dengan Palestin memberi satu ruh (semangat) yang tidak mampu diungkap dengan kata-kata. Menyedarkan diri yang selama ini kita leka, kita lupa pada saudara se-islam kita yang jauh lebih keruh hidupnya berbanding kita.

Di antara celahan bangunan Umm Qays

 

Jerash

 

Bukit Golan dan sungai yang memisahkan Jordan dan Israel

 

Dari Umm Qays, kami bergerak pula ke makam salah seorang sahabat Nabi, Muaz ibn Jabal yang terletak berhampiran sahaja. Muaz ibn Jabal terkenal sebagai seorang yang paling alim di antara umat Islam tentang perkara halal dan haram, setelah mendampingi Nabi Muhammad sepanjang 13 tahun di Madinah. Masuk ke makam itu baunya wangi – meski kami tidak tahu apakah itu bau minyak wangi yang ditabur atau semula jadi, kerana pernah juga terbaca bahawa penjaga makam mendakwa tidak pernah meletak apa-apa wangian di dalam ruang itu. Wallahu alam, hanya Allah sahaja yang tahu kebenarannya.

Ada pesan Muadz ibn Jabal tertampal dalam dinding ruang makam itu, nasihatnya tentang menuntut ilmu:

 

“Pelajarilah ilmu, kerana mempelajarinya kerana Allah s.w.t. adalah tanda takut kepadaNya. Menuntut ilmu adalah ibadat, mengingatinya adalah tasbih, menyelidikinya adalah jihad, mengajarkannya kepada orang yang belum mengetahui adalah sedekah, memberikan kepada ahlinya adalah kebaktian sebab ilmu itu jalan untuk ke syurga.”

 

Tiada lebih lagi yang perlu diulas, ayatnya memang jelas buat kita sebagai penuntut ilmu. Adakah kerana dunia semata-mata atau buat bekal ke akhirat sana?

Petangnya kami ke Jerash pula, juga tapak tinggalan Rom yang kemudiannya dibangunkan oleh kerajaan Turki Uthmaniyyah. Menariknya, terdapat tinggalan ruangan masjid yang dibina dalam seni bina Rom,  gabungan dua kerajaan yang sungguh berkuasa ketika itu. Namun, tidak banyak yang mampu dilihat kerana dihalau keluar, sudah tamat waktu melawat.

Wallahualam.

Tamat bahagian satu. Kisah selanjutnya dalam bahagian dua.

 

Facebook page:

Tangisan Syria Di Bumi Jordan – https://www.facebook.com/TangisanSyriaDiBumiJordan/

Teach For The Needs for Syria – https://www.facebook.com/TFTNforsyria/

Malaysian Arabian Cultural Society – https://www.facebook.com/malaysianarabianculturalsociety/

 

Ditulis oleh,

Khairah Mahfuzah Rushdi (Cardiff University)

 

Diolah oleh,

Alia Hazwa Adzhar (Nottingham University)

Comments

comments

Mar, 31, 2017

0

SHARE THIS