Perbaiki Mutu Pusat Tahfiz Elak Tragedi Berulang

Seluruh negara gempar dan bersedih dengan pemergian adik Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, 11 tahun atas sebab jangkitan kuman yang kini masih dalam siasatan pihak berkuasa. Saya ingin melahirkan ucapan takziah buat keluarga arwah.

 

Selaku bekas pelajar tahfiz di dua institusi kerajaan dan swasta, peristiwa ini berada dekat di hati saya. Saya memulakan pengajian tahfiz di Institut Al-Quran (IAQ*) Sekolah Menengah Islam Al-Amin, dan juga mendapat persijilan tahfiz di Darul Quran, JAKIM.

 

Antara perkara yang menjadi kegusaran ialah bagaimana perkara serius seumpama ini melibatkan sebuah pusat tahfiz yang sepatutnya menjadi pusat bimbingan paling sempurna kerana mendidik anak-anak murid dengan al-Quran.

 

Satu perkara yang perlu disedari oleh masyarakat umum ialah; usaha pengusaha pusat tahfiz terutama di pihak swasta adalah satu usaha yang ikhlas dan terpuji, kerana bidang pendidikan tidak mendatangkan pulangan keuntungan, bahkan segala pendapatan termasuk derma dikembalikan penuh demi pengurusan pusat tahfiz. Ini kerana seringkali tujuan utama pembentukan pusat tahfiz adalah bagi memenuhi hadith sahih daripada Nabi s.a.w yang mafhumnya, “Sebaik-baik kamu adalah orang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.”

 

Walaubagaimanapun saya berpendapat pihak berwajib boleh menjalankan satu usaha reformasi pendidikan tahfiz, dengan mengadakan syarat-syarat tertentu bagi membuka pusat tahfiz, terutama dengan menjalankan penaziran ke pusat-pusat tersebut. Pusat-pusat tahfiz ini boleh diberikan pengiktirafan tertentu seperti jumlah bintang atau markah yang diiklankan kepada umum.

 

Ini bukanlah bertujuan untuk mengawal atau mengehadkan pusat tahfiz, namun usaha memperbaiki mutu dan memastikan pengusaha pusat tahfiz sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik. Garis panduan yang bakal diterbitkan juga menjadi rujukan bernilai bagi pusat tahfiz sediada dan yang bakal didirikan.

 

Dengan ini, kualiti pendidikan tahfiz dan pengurusannya dapat dipelihara, bahkan tidak disalahguna seperti kutipan derma yang boleh dipertikaikan serta memaksa anak murid menjalankan usaha kutipan derma di jalanan. Isu seperti kematian adik Mohd Thaqif ini juga dapat dielakkan daripada dikaitkan dengan kecuaian pengusaha Pusat Tahfiz.

 

Pihak kerajaan dan semua pemegang taruh dalam pendidikan tahfiz hendaklah meneliti dan sama-sama berusaha bagi memastikan perkara ini tidak berulang.

 

Nota*: Tempat saya menuntut dahulu, IAQ sudah tidak wujud lagi, namun pihak IKRAM-Musleh masih menyediakan pusat pendidikan tahfiz di institusi-institusi lain di bawah kelolaannya.

 

Muhammad Nazril Laharadi

Penulis merupakan Presiden Pertubuhan IKRAM United Kingdom dan Eire

Comments

comments

Apr, 28, 2017

  Article

0

SHARE THIS