We Salute Isle of Bute : Camping with Refugees

Madihah Azhar ialah seorang pelajar jurusan seni bina di University of Edinburgh yang menjadi salah seorang peserta “We Salute Isle of Bute : Camping with Refugees”. Ikuti coretan beliau dalam berkongsikan pengalaman sulung bertemu dengan pelarian-pelarian di Isle of Bute.

Program dua hari satu malam melawat pelarian Syria di Isle of Bute yang diadakan pada 30 April – 1 Mei 2017 merupakan hasil usaha dan kerjasama Madina Institue, Wipe The Tears, PRISM Scotland, Komuniti Melayu Glasgow, Sekolah Malaysia Glasgow dan EMSA Family. Segala ikhtiar dari pihak yang menjayakan rencana ini saya ucapkan sekalung tahniah dan terima kasih kerana memberi ruang kepada kami yang terlibat untuk menjadi sukarelawan yang ingin menunjukkan sokongan dan bantuan secara terus kepada pelarian-pelarian. Didoakan agar usaha seperti ini terus dapat dijalankan tidak kira secara besar-besaran atau di skala yang lebih kecil.  

Perjalanan dan pagi kami ke Bute dipermudah dan dirasakan sangat tenang. Setibanya kami di dewan tempat kami berkumpul, sedikit demi sedikit keluarga-keluarga dari Syria ini memenuhi bahagian hadapan dewan, menyediakan juadah yang sangat banyak, menyambut kami sebagai tetamu. Sangat meriah sambutan yang kami terima, walaupun kami bercakap menggunakan bahasa yang berbeza.

Secara rasminya majlis dimulakan dengan hafalan Surah Al-Maarij oleh salah seorang kanak-kanak perempuan kecil daripada kalangan mereka. Cukuplah saya katakan surah ini secara komprehensif menyatakan apa yang mungkin ada di jiwa-jiwa pelarian ini apabila ia menjadi pembuka kalam buat  kami yang turut mendengar.

Agenda diteruskan dengan ucapan penuh semangat oleh seorang shuyukh / sheikh (yang tua dan dihormati) dalam kalangan mereka. Ucapan disampaikan dalam bahasa arab sepenuhnya, maka ketidakbolehan saya menterjemah bicara beliau secara keseluruhan adalah disebabkan penguasaan bahasa arab saya yang kurang fasih. Apa yang masih segar dibenak fikiran ini adalah ketika mana beliau memulakannya dengan dua potongan ayat daripada Surah Talaq yang lebih dikenali dalam kalangan orang melayu sebagai ayat seribu dinar.

وَمَن يَتَّقِ ٱللَّهَ يَجْعَل لَّهُۥ مَخْرَجًا

وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُۥٓ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ بَٰلِغُ أَمْرِهِۦ ۚ قَدْ جَعَلَ ٱللَّهُ لِكُلِّ شَىْءٍ قَدْرًا 

 

“Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” (Surah Talaq 65:2-3)

Dengan penuh kecintaan terhadap Rasul SAW, beliau beberapa kali menegaskan bahawa ujian Allah tentang kerosakan yang dilakukan kerajaan yang zalim telah pun dilalui oleh jalan-jalan para Rasul Allah sebelum ini. Beliau mengulangi dan mengulangi tentang bahawa dengan ketaqwaan, Allah sesungguhnya pasti akan menyediakan jalan keluar dan limpahan rezeki yang tidak terhisab.

Antara kisah yang dipetik itermasuklah rakaman sirah tentang perjalanan Rasul SAW berhijrah meninggalkan negeri yang zalim di Mekah, menuju jalan keluar yang dijanjikan Allah, demi dakwah dan demi memenangkan keimanan. Tidak ada apa yang menjadi motivasi kepada hamba-hamba Allah yang diuji kejerihan melainkan janji Allah mengenai jalan-jalan keluar dan limpahan rahmat dihujung perjalanan. Tiba-tiba nasyid thalla’al badru alaina berkumandang di bibir-bibir mereka, menghayati pengorbanan yang dilakukan oleh Rasul SAW yang melangkah dengan penuh kepenatan menuju kehidupan yang lebih berkah di bumi Madinah.

Kemudian didatangkan pula kisah Nabi Ibrahim yang kita semua cintai. Tentang detik ketika mana pemerintah yang kejam memutuskan agar baginda dicampak ke dalam api yang sangat besar sebagai satu seksaan dan penghinaan atas keberanian baginda bangkit menentangnya. Maka keimanan yang bagaimana sampai harus jawapan baginda kepada pemutusan itu adalah  “Bahawa cukuplah Allah menjadi penolong Kami dan Allah adalah Sebaik-baik Pelindung”  (Surah Ali Imran: 173). Api yang sifat tabi’inya panas juga sampai menunjukkan sifat hakikinya bahawa ia pemilikan Tuhan juga tunduk dan akhirnya menjadi bahan haba yang mengeluarkan suhu yang seimbang antara panas dan sejuk (Surah al Anbiyaa’: 69). Begitulah sambutan-sambutan rahmat dari Allah buat hamba-hambanya yang bertakwa.

Pengolahan yang bijak oleh penceramah, beliau juga memasukkan cerita isteri baginda, Hajar, agar kehadiran para ibu dan isteri juga diraikan. Ketika Nabi Ibrahim A.S menyatakan apabila dia harus berpisah jauh dan lama dari Hajar dan bayinya Ismail, bertanya dia sebanyak tiga kali “Allah amaruka bihadza? (apakah Allah yang perintahkan ini kepadamu)” “Maka kalau demikian Allah tidak akan menyia-nyiakan kami…”. Begitulah hiburan hati manusia yang dihiasi keimanan, bahawa taqwa yang ada cukup dan mewah menjadi bekalan dan sumber hidup ketika di dunia lagi, walaupun mata tidak mampu melihat, atau lidah tidak mampu membuktikan rasa, tetapi mereka telah membenarkan hakikat-hakikat bahagia , sifat “makhraja (jalan keluar) yang dinikmati sebahagian insan yang dikurniai rahmat.

Dan seluruh manusia juga bersaksi akan kisah Musa ketika baginda dihadapkan dengan firaun di zamannya dan berdakwah kepadanya agar memberhentikan kezaliman dan menyambut seruan keimanan. Sambung sheikh tersebut, yakinlah bahawa kita bukan manusia-manusia pertama yang lari dari kejahatan-kejahatan ini. Tekadkan azammu agar kepayahan ini dapat menjadikan kita orang-orang yang bersama dengan Allah dan Rasulnya di hari akhirat kelak. Tuhanmu tidak memungkiri janji, bagaimana kisah janji yang tertunai tersingkap di pengakhiran kisah-kisah soleh ini, iaitu kemenangan yang nyata dan kemenangan yang abadi.

Terdapat juga ucapan oleh Dr. Norma dan pelbagai aktiviti-aktiviti untuk kanak-kanak, juga pemberian shoebox (baca: hadiah) secara spesifik kepada anak-anak ini oleh sukarelawan. Tirai hari ditutup dengan majlis penutupan yang sederhana, dimulakan dengan sesi bergambar dan pengagihan bantuan-bantuan yang dibawa dari Glasgow. Saya hanya berkesempatan untuk menyertai program untuk hanya untuk sehari. Dikisahkan bahawa keluarga-keluarga dari Syria ini baru sahaja menetap di Isle of Bute selama tiga bulan, setelah berpindah randah dari satu negara ke satu negara yang lainnya melalui jalan perairan semenjak peperangan bermula Disember yang lalu.

Bagi saya, tidak tepat saya katakan kedatangan dan sokongan kami menjadi penguat dan pemberi semangat mereka yang selamat lari dari beberapa negara ini hanya berlaku sebelah pihak. Tetapi sebenanrnya, merekalah yang meniupkan ruh-ruh kekuatan, dengan kehadiran mereka sebagai Muhajirin (golongan yang berhijrah) di bumi Scotland, buat sesiapa yang mahu mengambil pelajaran.

Suka saya kaitkan di sini tentang kesinoniman ketaqwaan dengan bulan Ramadhan. Bulan Ramadhan kian mendekat, maka adakah hati-hati kita juga menghampiri dan tertunggu-tunggu akannya? Susunan Allah, tidak pernah silap dalam mendengarkan saya akan kisah-kisah mereka yang mendahului kita manusia sekaliannya dalam urusan ketaqwaan. Ketaqwaan itulah bahkan menjadi tujuan kewajipan berpuasa di bulan Ramadhan yang dari segi bahasa bermaksud “panas yang membahang”.

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Surah al Baqarah:183)

Mudah-mudahan kamu bertaqwa, kata Allah. Taqwa, hakikatnya membersihkan kita dari fitnah, baik yang indah mahupun  yang menyeksakan. Jalan perolehan taqwa mereka dan kita, walau berbeza warna, tujuannya tetap sama. Agar akhirnya kita sama-sama menuju jalan-jalan keselamatan yang di dalamnya penuh dengan keberkatan dan keampunan. Majulah, dengan melangkah, berlari mahupun merangkak dalam meninggalkan negeri-negeri kejahilan, ladang-ladang nafsu yang menguasai hati dan akal, serta kezaliman-kezaliman yang kita perbuat pada diri kita sendiri, menuju Dia, untuk Dia.

Wallahu A’alam.

Comments

comments

May, 07, 2017

0

SHARE THIS